Rezeki itu satu ujian? Kenapa? Sebab bagaimana mata hati kita memandang rezeki itu yang menjadi ukuran. Rezeki yang melimpah ruah ujiannya untuk disyukuri, rezeki yang terkadang susah ujiannya untuk tak henti diusahakan, tawakkal dengan janji pasti Illahi.
Ada masanya kita mengeluh. Merasakan rezeki kita sempit. Meniaga tapi tak maju, mohon kerja tapi tak dapat-dapat. Itu belum lagi cerita usaha nak nikah tapi Allah masih belum permudahkan jalan, ada yang nak anak tapi belum waktunya. Ada yang nak sambung belajar tapi komitmen hadir untuk mengikat. Ada yang nak kejar cita-cita tapi ruang masa dan tenaga membuatkan impian tersekat. Banyak cerita, tetapi hakikatnya membicarakan satu perkara, Rezeki.
Rezeki? Apa sebenarnya rezeki? Ada yang memandang harta 7 keturunan, duit berkepuk-kepuk itu sebagai manifestasi rezeki. Tambah pula dengan rumah besar, kereta mewah, dipandang sebagai rezeki rumah. Namun, sejauh mana betulnya pandangan ini?
Hakikatnya, rezeki itu tak terhenti di situ. Rezeki tak hanya terhenti pada duniawi tetapi berkait dengan ukhrawi. Macammana? Tubuh badan yang sihat sehingga kita boleh untuk beribadah kepada Allah dan berkhidmat buat ummah itu satu rezeki. Mempunyai keberkatan doa ibu dan bapa yang tak putus-putus mendoakan rahmat dan lindungan Allah buat permata hati mereka juga satu rezeki. Berada dalam lingkungan keluarga mahupun sahabat yang soleh dan solehah juga salah satu cabang rezeki. Malah, sekecil-kecil kita masih bernafas hari ini untuk masih berpeluang taubat kepada Allah juga satu rezeki.
Tapi, kenapa kita tak pernah nampak semua yang kita ada hari ini hakikatnya sebagai satu rezeki?
Jawannya mudah. Sebab kita jarang ambil masa untuk menilai apatah lagi menghargai apa yang kita ada. Satu, kita ambil mudah dengan apa yang kita ada dan tak rasa perlu untuk disyukuri (hakikatnya kita memang mendapatkannya dengan mudah). Kedua, kita terlalu sibuk untuk pandang apa yang dimiliki orang lain membuatkan kita tak ada masa untuk melihat apa yang dipinjamkan Allah buat kita. Semuanya sementara. Bila-bila masa sahaja boleh ditarik balik. Rugi kalau kita tak ambil masa untuk bersyukur. Tak perlu sombong. Andai kata Allah nak ambil balik, Allah tak perlu pun menunggu kerelaan kita ataupun tidak.
Kesimpulannya, rezeki itu luas. Pandangan kita yang menyempitkan hakikat rezeki. Dan, rezeki memang satu ujian sama ada kita nak sedar ataupun tidak. Percayalah, tak ada sedikit pun rugi untuk kita duduk bersyukur dan bersabar dengan rezeki yang menjadi rahsia Allah. Syukur dengan sekecil-kecil nikmat yang Allah kurniakan. Setiap nikmat yang disyukuri, Allah akan tambah.
Next entry : Tips Murahkan Rezeki.
Comments
Post a Comment